Belangsuwaka Pak Samad…

Tiada apa kalimat yang mampu saya ungkapkan petang kelmarin mendengar berita yang hampir saya sendiri tidak percaya! InnaLillahWaInnaIlaihiRajiun…

Insan yang cukup saya kenali,bahkan seluruh warga KUIS pun mengenalinya telah pergi buat selamanya menghadap Sang Pemilik Abadi Dunia dan Seisinya.

Perginya memang tiada siapa yang sangka,manakan tidak, pagi dan tengahari sebelum pemergiaanya, sesiapa yang sempat berjumpa pasti tidak percaya petangnya dia telah tiada!

Selepas ini tiada lagi panggilan ‘wak’,ngomongan jawa, oh…, memang sangat terasa ketiadaannya.

“Tenanglah bersemadi dikau di sana Wak..”  Moga disisi orang soleh dikau ditempatkan.

Leave a comment »

Pemuda Kahfi.. Bukti keimanan dan ketaqwaan dicelah-celah kejahilan dan kefasadan…

Sesungguhnya mereka adalah beberapa orang pemuda yang hidup pada suatu masa di zaman seorang raja yang atheis ( tidak bertuhan ) dan zalim. Seorang raja yang angkuh yang mengakui dirinya sebagai tuhan. Mereka melihat dan memerhati , keadaan masyarakat sekeliling yang lalai dan alpa. Kaum mereka menyembah berhala, berpesta dengan iringan nyanyian lagu yang melalaikan dan didampingi minuman yang memabukkan.Mereka lihat kaum mereka bersujud kepada berhala dan bertaqarrub (mendekatkan diri) kepadabatu-batu yang jelas tidak memberikan apa-apa manfaat dan kebaikan.

Jiwa kerdil mereka memekik : ” Inilah adalah kejahilan dan kebodohah yang nyata!!!..” Allah ingin menghidupkan hati pemuda-pemuda ini. Lantas mereka mengasingkan diri dari kaumnya. Perihal ketauhidan mereka diketahui oleh pihak pemerintah dan raja mengerahkan tentera mencari mereka dan dihukum kerana murtad daripada agama nenek moyang mereka. Mereka bertekad dan melarikan diri daripada kezaliman demi meneguhkan pegangan mereka.

Allah berfirman : ” Dan kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata, ” Rabb kami adalah Rabb langit dan bumi, kami berkali-kali tidak akan menyeru Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran,” ( AL-Kahfi:14)

 Mereka bersembunyi di dalam gua yang sempit dan gelap. Dan dengan izin Allah, mereka tertidur di dalam selama tiga ratus sembilan tahun..Kita maklumi kisahnya.Apa yang penting, merekalah ikon pemuda yang mempunyai keteguhan hati dan kejernihan jiwa kepada Allah swt. Mereka adalah anak muda yang berani melawan arus, berpegang pada prinsip dan kebenaran walaupun ia berisiko tinggi.

Pada era moden ini, golongan yang berjaya adalah mereka yang bersikap seperti ashabul Kahfi ini. Namun , masih wujudkah keperibadian seperti mereka di zaman moden ini???

INILAH MEREKA ..

Dicelah-celah zaman yang penuh dengan kerosakan dan kefasadan ini, kezaliman berleluasa dan kemaksiatan bermaharajalela , masih terdapat insan-insan pilih Allah swt yang amat tinggi pegangan Agama mereka. Di dalam kesibukan masyarakat kepada dunia yang penuh dengan penipuan ini, mereka tetap dan teguh pada keyakinan da keimanan mereka kepada Allah swt.Merekalah pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi yang iltizam (komited) mendirikan solat berjemaah 5 waktu sehari semalam.

Mereka bersungguh-sungguh menjaga akhlak dan keperibadian mereka dan diri mereka dihiasi dengan akhlak islamiyah. Di waktu rakan-rakan yang sebaya dengan mereka leka dan bergembira di kelab-kelab hiburan dan panggung wayang serta tempat berpeleseran, mereka sibuk dan khusyu mendengar dan menghayati ceramah-ceramah pengajian agama. Hati dan jiwa mereka terpaut jatuh cinta kepada majlis-majlis itu. Ia umpama taman-taman syurga. Dengannya , hati mereka bersinar dan jiwa mereka bercahaya.

Di majlis itu penuh dengan kebaikan, keistiqamahan,kemuliaan dan zikir kepada Allah swt.Di taman damai inilah , mereka bertemu pemuda-pemuda dan saudara-saudara mereka yang berpegang teguh pada iman dan taqwa. Mereka bertemu dengan orang-orang yang sentiasa memelihara solah lima waktu secara berjemaah, taat penuh kepada Allah swt dan RasulNya. Mereka berkumpul dan bersatu kerana Allah swt dan ketahuilah mereka hidup ‘bahagia’ bersama….

Tatkala , remaja-remaja lain gemar dan seronok membaca majalah-majalah pisican ,murahan dan berunsur lucah, mereka ini pula asyik dengan dunia bacaan mereka tersendiri. Buku-buku dan bahan bacaan mereka adalah Al-Quran , Hadis Rasulullah ,Buku-buku Sirah Rasulullah, kitab-kitab agama dan buku-buku karya ulamak muktabar.

Inilah teman dan sahabat kecintaan mereka. Buku fikrah islam sebagai sahabat dan teman dampingan. Teman yang tidak pernah menipu.Dengannya, mereka dididik dan diasuh dengan asuhan rabbani. Mereka sangat suka mendengar alunan-alunan merdu bacaan Al-Quran dan nasyid-nasyid islamik. Mereka memasangnya dimana sahaja mereka berada. Di dalam rumah, berkumandanglah irama merdu nasyid yang mengajak kepada mengingati Allah dan seruan nasyid menyemarakkan roh jihad. Jiwa mereka sentiasa berhajat kepada hiburan islamik dan mereka tenangnya dengannya.

 Di dalam kereta, alunanAl-Quran menjadi pilihan. Siaran radio yang tidak syara’ ditolak ketepi.Mereka takut mendengarnya, bimbang Allah murka. Di tempat belajar dan bekerja, nasyid yang syara dipasang sebagai tatapan dan penyegar halwa telinga.

Mereka tidak sama seperti remaja-remaja yang lalai. Sukakan nyanyian –nyanyian dan lagu-lagu yang melalaikan dan menjauhkan diri daripada rahmat Allah swt.Nyanyian artis-artis yang mendedahkan aurat, artis yang hidupnya rosak dan tidak diberkati oleh Allah swt.

 Lagu mereka secara terangan merosakkan dan menghancurkan keperibadian mukmin sejati.Lagu yang berunsurkan pemujaan syaitan dan mensyirikkan Allah swt. Ketahuilah, kehidupan seorang artis adalah kehidupan yang tidak soleh. Kehidupan yang penuh dengan tipu daya.. Usahlah rasa kagum dengan mereka….. Wahai saudara yang budiman, inilah mereka!! Beginilah kehidupan mereka.Berzikir, membaca Al-Quran,solah lima waktu berjemaah , berakhlak mulia dan mereka sentiasa tenang dan damai…

Itulah kehidupan pemuda K.A.H.F.I di zaman moden ini.Walaupun dunia sebegini teruk dan rosak, mereka tetap dengan keyakinan mereka. Inilah mereka. Anda pula bagaimana? LANGKAH BERMULA Tidak inginkah kau menjadi seperti mereka? Mereka kelihatan tenang.Wajah mereka bersinar-sinar tanda keikhlasan dan keimanan yang jitu. Akhlak mereka cukup memikat.Alangkah bahagianya mereka….

Keperibadian mereka tampak unggul..Mereka berjalan penuh tawadu’ dan wara. Dan ketahuilah mereka sangat takut kepada Allah swt.Mereka inilah contoh ikutan generasi pemuda hari ini.

Marilah perbaiki diri dan ia bermula di sini : # Peliharalah niat amalan solehmu.

# Dirikan dan peliharalah solah lima waktu secara berjemaah

# Lazimkanlah hadir ke taman-taman syurga ( majlis ilmu)

# Istiqamahlah dan tetaplah berzikir di mana sahaja

# Istighfar dengan segera andaikata dosa menghinggapi diri

# Bacalah / hayati/menangislah apabila berhadapan dengan ayat-ayat Al-Quran

# Kesemua dia di atas menyimpulkan – Jagalah hubungan dengan Allah-dimana saja.

 

Comments (2) »

P-36:Meraikan Kemenangan dengan Sujud Syukur…

Alhamdulillah…

Akhirnya kemenangan dan kebenaran berpihak kepada ahlinya. Berhempas pulas UMNOBN menarik hati rakyat Terengganu dengan pelbagai cara dan taktik,tak cukup utusan meloya dan berita hairan,tv1,2,3,7,8,9 hampir setiap hari ‘memujuk’ supaya ‘undilah umno’.

Tetapi begitulah perancangan Allah,memang selalunya mengatasi perancangan manusia,bukan sahaja YB HJ Abd Wahid Endut menang, bahkan majoriti yang diperolehinya jauh lebih besar daripada PRU 12 lalu.

satu isyarat, Najib dan BN WAJIB dinyah!

 

 

Comments (1) »

Ya, sayalah orangnya yang ‘menasihat’ Akram Taib Ezamuddin supaya jangan bertanding! Apa salahnya???

Salam ukhuwah fillah,

Saya terpaksa mengambil sedikit masa rehat saya untuk mengomentar apa yang ditujukan oleh Tun Khadam kepada saya.

Inilah sifat Tun Khadam dari dahulu,memprovokasi nombor satu!

Saya TIDAK MENAFIKAN adanya pertemuan saya dengan calon PRK U10 baru-baru ini(sebelum),malah selepas mengetahui kemenangannya pun saya masih menghubungi beliau untuk memberi sedikitlagi pandangan nasihat. Namun untuk menuduh saya mengetuai satu golongan yang menghasut calon ini supaya tidak bertanding maka jawab saya ia provokasi dari Tun Khadam.

Saya tidak faham atas dasar apa Tun Khadam ini sangat murka kepada saya kerna nasihat saya kepada calon U10 itu? Kemudian atas dasar apa pula dia begitu kecewa apabila saya melahirkan sokongan terbuka kepada calon U10 yang telah memenangi PRK ini dan mendapat undian tertinggi menerajui kepimpinan MPM sesi ini.

Mungkinkah kerna saya tidak menyokong secara terbuka calon pilihannya untuk mengetuai MPM kali ini? Wallahu Alam.

Saya masih berhubung  baik dengan calon U10 dan U09 ini,maka tidak perlulah si Tun Khadam ini mempersoal pula keihklasan saya yang berhubung baik ini.

Siapapun  yang menerajui kempimpinan MPM kali ini,tiada masalah bagi saya, Cuma saya mempunyai pandangan dan pendekatan  yang berbeza mengenainya. Jika tidak setuju kemukakan hujah, jangan berprovokasi sahaja.

Kepada calon MPM yang terpilih kali ini, Tahniah dan Takziah kepada anda!

 

Comments (1) »

SURAT TERBUKA UNTUK MAHASISWA KUIS.

Assalamualaikum,

Salam Ta’zim dan Ehsan,

Ketika saya sedang leka mengatur bicara lewat keyboard laptop ini, bumi Gaza masih lagi bermandikan darah saudara shuhada’ kita, apapun doa yang tidak putus-putus kita panjatkan ke Empunya Dunia, yang Maha Tahu ujian apa yang sedang diberinya.

Saudara,

Syukur  Alhamdulillah seperti yang kita maklumi, semalam berakhirlah debaran calon-calon pilihanraya kampus (hanya kerusi UMUM) apabila setelah akhir kiraan undi dibuat, maka inilah dia calon-calon yang bakal dinobatkan sebagai MPM kita bagi sesi ini:-

AKRAM TAIB EZAMUDIN            1733 UNDI

NASRULIZAD MD ISA                   1669 UNDI

TOYYIBAH                                       1458 UNDI

DALILAH                                          1359 UNDI

HAFIZ                                               1249 UNDI

HELMI                                              1087 UNDI

Namun,disebalik kegembiraan calon-calon di atas meraikan kemenangan mereka, izinkan saya mengutarakan beberapa pandangan untuk direnungi bersama…

 

Saudara,

Buat pertama kalinya dalam sejarah PRK kita, inilah pilihanraya yang HANYA mempertandingkan KERUSI UMUM!, dan hanya calon kerusi itulah yang telah dipangkah oleh mahasiswa semalam (amat menyenangkan kerja SPRKUIS). Tanpa prejudis saya jelaskan dahulu semasa ber’hujah’ bersama Tun Khadam dan Tun Al-Muntazar, terjadinya begini jika tiada sebarang bentuk tindakan susulan, masa depan yang malap dihujung sana menanti kita. Dan sejarah PRK ini juga mencatatkan bahawa inilah PRK terlalu simple dalam sejarah PRK sejak KUIS ditubuhkan!

Saudara,

Cuba kita bayangkan,sekiranya tampuk pimpinan tertinggi mahasiswa itu tiada calon langsung yang ingin memasukinya pada masa depan? Tidakkah ia memberi gambaran bahawa samaada  MPM itu sendiri yang ber’masalah’, menyebabkan mahasiswa tidak ingin ‘mencuba nasib’ menjadinya, ataupun ada factor lain yang menyebabkan MPM itu ber’masalah’ dan mahasiswa tidak berani menanggung risikonya.

Saudara,

Apa yang terjadi pada PRK kali ini adalah manefistasi daripada 2 faktor (Mahasiswa & Pengurusan) yang saya simpulkan pada malam penghujahan saya bersama Tun Khadam dan Tun Al-Muntazar lalu. Sikap dan sifat MALAS KITA  berfikir, kelemahan kita dalam perancangan, kelembapan kita dalam tindakan, Bersama ‘perangai’ pengurusan yang sangat2 tidak mengiktiraf keberadaan kita sebagai warganya, contohnya yang saya bawakan lalu di mana MPM itu sendiri TIDAK PERNAH DIHORMATI HAKNYA apatah lagi hak kita sebagai mahasiswa!

Saudara,

Diperingkat kita sebagai mahasiswa, masih banyak yang saya ingin ungkapkan pada malam penghujahan yang lalu, apakandaya masa yang terlalu sempit ketika itu memaksa saya meluahkannya ditulisan ini sahaja.

Kita sebenarnya terlalu ‘memanjakan otak’ kita,sehingga selalu mencari alasan untuk sentiasa ‘membelai’ dan ‘merehatkannya’. Perkara yang hanya memerlukan secebis otak berfikir kita terus menolaknya dengan seribu helah.

Padahal untuk jangka pendek dan panjang perkara itu sangatlah mendesak untuk berfikir tentangnya.

Saudara,

Dikesempatan berhujah lalu, saya secara prinsipnya sangat bersetuju sekiranya dalam pilihanraya MPM ini mempunyai ProJPM dan ProALAM (maaf ini istilah saya sahaja).

Kepentingan untuk wujudnya ‘pertandingan’ antara kedua kelompok ini tidak dapat dinafikan peranannya. Lihat sahaja didunia reality luar sana, ketika Barisan dan Pakatan sedang saling bertungkus lumus meyakinkan rakyat di Kuala Terengganu,bahawa ‘merekalah’ yang terbaik, maka secara langsung atau pun tidak, ia sedang menyuburkan demokrasi agar rakyat benar-benar dapat memilih calon yang terbaik buat mereka.

Begitu juga kita mahasiswa di KUIS ini, andai cara lama tetap kita teruskan dengan hanya calon bertanding itu atas tiket persendirian semata-mata, saya yakin apa yang kita ‘takutkan’ dengan ketiadaan calon yang benar-benar layak untuk menerajui kepimpinan MPM akan datang benar akan terjadi. Walaupun saya tidak menafikan ‘ada’ calon persendirian itu yang layak dan sangat layak pun untuk menjadi MPM, tetapi hakikatnya keberadaan mereka itu yang hanya ‘sekerat dua’ ‘cukup cukup tidak cukup’

Saudara,

Saya tahu, segelintir dari kita cukup bimbang jika perpecahan akan berlaku jika kita wujudkan kelompok kelompok ini. Namun percayalah,InsyaAllah saya cukup yakin, jika ia ditanam atas niat yang baik, maka hasil yang baik yang kita tuaikan kemudian nanti.

Saya juga tahu, untuk ‘melahirkan’ kelompok ini bukan semudah ‘menulisnya’ diweblog ini, ia tentu memerlukan kesatuan fikrah, yang kemudiannya membawa kepada kesatuan amal dan akhirnya terbentuklah jemaah yang akan membawa arus perubahan yang sebenarnya secara menyeluruh. Bukan lagi bersifat ke’akuan’ dan individu.

Saudara,

Saya juga ingin membuat sedikit teguran kepada semua pimpinan persatuan dan lajnah di kampus kita yang kini tampaknya ketandusan pelapis kepimpinan. Saya tidak menolak, ada persatuan yang ‘maintain’,setiap generasi mampu diadakan. Namun sebahagian besarnya tidak begitu.

Saya percaya sekiranya setiap pimpinan persatuan menghayati tanggungjawab yang dipikulnya,sudah tentu amanah itu tidak hanya kepada zamannya sahaja bahkan kepada generasi selepas itu. Tidak guna jika hanya syoksendiri dengan kemasyhuran dizaman sendiri sahaja, tetapi mengabaikan pembentukan generasi yang akan mewarisi kepimpinan selepas itu.

Cadangan saya kepada kepimpinan baru yang bakal menerajui kepimpinana persatuan/lajnah selepas ini (jika adalah), mulai daripada sekarang intai-intai adik adik yang punyai potensi untuk menggantikan diri masing-masing apabila cukup tempoh bersara nanti. Bagusnya dibuat usrah untuk mereka, tak kiralah usrah Gamiske,PKPIMke,Ismake,Karismake,Tablighke,Haluanke,Pepiaske jangan UMNO sudah.

Saudara,

Berbalik kita ke MPM semula. Menerajui MPM sebagai badan kepimpinan tertinggi mahasiswa hakikatnya bukan semudah yang kita sangka. Betul dengan ‘mengabulkan’ setiap permintaan yang pelbagai daripada mahasiswa itu boleh dianggap menjalankan tugas dan bertanggungjawab.

Tetapi persoalannya di sini cukupkah kepimpinan MPM itu dibanggakan dengan hanya menyelesaikan masalah PTPTN yang tak pernah selesai, yuran yang tak pernah turun(walau diberi potongan hingga 15 %, tapi tak semua pun yang merasa), Mesin ATM walau ditambah dua, tapi kerap rosak salah satunya kadang-kadang sekali dua-dua,lagi hebat dengan ‘membina’ jalan untuk OKU dan tandasnya sekali, atau sekurang-kurangnya dimarahi sesekali dikhalayak ramai oleh Ketua Unit Kediaman?

Kemudiaannya kesemua itu di’bukumerahkan’ (yang sebahagiannya adalah waqaf saya) lalu dipamer diperpustakaan. CUKUP? CUKUP? CUKUP?

Saya menyerahkan persoalan ini untuk dijawab oleh mahasiswa sendiri.

Saudara,

Amanah kepimpinan jika diamati dan dihayati oleh kepimpinan khususnya mahasiswa, bukan semata-mata dengan ‘mengenyangkan perut’ atau ‘memewahkan’ kehidupan sahaja.

Jika benarlah itu hakikat kepimpinan, nescaya Nabi SAW ketika berhijrah keMadinah  akan membina pasarmalam terlebih dahulu sebelum masjid. Memandangkan ketika itu kaum Muhajirin memang sedang ‘sesak’ kerana kesemua harta mereka telah dirampas oleh musyrikin Mekah.

Inilah sebenarnya pemimpin, melihat pembinaan ruhiyyah jauh lebih utama ,tanpa menafikan pentingnya jasmaniah. Benar kebajikan mahasiswa WAJIB DITUNAI, tetapi wajarkah terhenti setakat itu pemahaman tehadap kebajikan?

Dimana kebajikan, JIKA SISWA SISWI KUIS BUKAN MUHRIM TERUS MENERUS SEWENANG-WENANGNYA SAHAJA DUDUK SEMEJA BERGURAU SENDA DIMERATA?,PAKAIAN SISWI YANG SENDAT DAN PADAT DIBIAR MELATA TERUTAMA KETIKA RIADAH?,MASJID YANG HANYA PENUH KETIKA JUMAAT, ITUPUN ADA YANG TIDAK SOLAT?,PROGRAM HIBURAN YANG TERLAMPAU MENGASYIKKAN HINGGA TERGELENG KEPALA MELIHATNYA,KES MURTAD, KHALWAT,ZINA, DAN banyaklagi yang penat hendak ditulis di sini.

Jika ini tidak dilihat kebajikan oleh pimpinan mahasiswa diKUIS, maka siapa lagi yang boleh harapkan, Timbalan Rektor 1 si Khairi?

Saudara,

Menyentuh persoalan Pengurusan, saya secara jelas mengatakan bahawa, TIADA APA-APA HARAPAN LAGI YANG BOLEH KITA SANDARKAN PADA MEREKA, jika dengan kuasa Kerajaan Negeri yang masih malu-malu kucing untuk ‘merobahnya’ saya bertekad untuk menggunakan ‘KUASA MAHASISWA’ yang masih dianggap budak ini untuk ‘menyahkannya’.

Terlalu banyak kali kita diperbodoh,diperguna dan dihina. Awal dalam PRK baru-baru ini pun kita sudah melihatnya. Notis pilihanraya sengaja dilambatnaikkan(boleh baca apa kata Tun Khadam di blognya),MPM dibubar sewenang oleh JPM(walaupun ada majlis rasmi tetapi menghebahkannya terlebih dahulu sebelum berunding dengan MPM adalah sesuatu yang cukup menghinakan). MPM ‘diperguna’, disuruh ke sana di suruh ke sini semata-mata memuaskan cita politik rasuah mereka.

MPM di ‘control’ dengan memasukkan tali barut mereka. Aktiviti dihadkan, Minggu Taaruf yang kebiasaannya 5 hari berturut-turut (cukup untuk para fasilitator taaruf week mendidik adik-adik mereka) dijadikan berselang-selang (boleh ditanya ke mana duit makan yang dibayar untuk 5 hari jika makan free hanya dua hari?). 2 hari pertama (isnin selasa) dan 3 hari  pada hujung minggunya (jumaat –ahad),itu belum lagi segala yang berlaku di Minggu Taaruf dipantau ketat,kononya tidak mahu pemikiran pelajar baru ini dipengaruhi oleh dakyah pembangkang oleh para comitee (dia dah lupa agaknya sekarang ni dah kerajaan), langsung memandang rendah keupayaan para comitee taarufnya.

Maka saya memuji tindakan berani mahasiwa/I KUIS pada PRK kali ini, tidak pastilah samada ianya dirancang atau tidak,protes senyap dengan tidak menyertai MPM secara besar-besaran dan menurunkan jumlah peratusan pengundi (tercorot dalam sejarah) cukup ‘menggerunkan mereka sebenarnya.

Ternyata kerusi MPM yang mereka selalu perkudakan dahulu, kini tidak digilai oleh mahasiswa,bagi mereka pada saya, buat apa kuasa dan jawatan tertinggi menjadi rebutan jika kurang pengaruh dan kuasa  dalam program yang dapat memberikan ‘hi impact’ kepada warga siswanya, malah menjadi ahli jawatan kuasa kelab dan persatuan lebih merasa santai dan bebas berbanding MPM yang  dijerut dan kongkong JPM dan yang sewaktu dengannya.

Saudara,

Masih banyak pekung puak ini ingin saya dedahkan, tetapi untuk menghormati hak Kerajaan Negeri yang sudah mempunyai ‘berkotak-kotak’ file tentangnya,maka saya cukupkan setakat ini.

InsyaAllah , dengan penuh keyakinan,hilangnya puak ini dari BUMI BERTUAH LEMBAH HIKMAH ini,KUIS akan muncul semula membina kegemilangannya.

Saudara,

Akhirnya, perjuangan ke arah ‘perubahan jangka panjang’ wajar diberi keutamaan oleh mahasiswa KUIS dan perubahan yang paling utama yang mesti diutamakan ialah perubahan pemikiran seluruh mahasiswa.

Perubahan seperti ini memerlukan usaha kuat yang bakal menghasilkan peristiwa besar di alam kampus kita.

Sungguh, Demi Allah saya tidak mendapat apa-apa ganjaran daripada apa yan saya perbuat ini, malah tidak sedikitpun mengharapkannya daripada saudara sekalian.

Keampunan Tuhan saya pohonkan untuk diri yang penuh noda dosa ini, juga kemaafan daripada teman-teman seperjuangan. Jika mungkin ini yang terakhir dari saya, halalkanlah segalanya.

Sekian.

16 Januari 09- 2.12 a.m-Vista Seri Putra-Minda Haraki

 

 

 

Leave a comment »

Terima Kasih tegur kami…

Gerakan mahasiswa dan surah ‘Abasa
Ahmad Albab At-Tabani
Sat | Jan 10, 09 | 12:35:16 am MYT

As-syahid Syed Qutb Rahimahullah dalam karya agungnya Tafsir Fi Zilal Quran menceritakan asbabun nuzul (sebab turun ayat) surah ‘Abasa: Iklan

Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang buta itu tidaklah dapat melihat Rasulullah s.a.w. yang memasamkan muka kepadanya semasa baginda asyik memberi tumpuan kepada golongan pembesar Arab Quraisy yang menjadi target “back bone” dalam menegakkan Daulah Islamiah di Madinah.

Rasulullah s.a.w. tidak silap dalam meletakkan aulawiyyat, memilih sasaran dakwah dikalangan mereka yang tegap ekonomi dan kuasa mereka, namun Allah tetap juga menegur baginda yang seolah terlupa kepada Abdullah Ibnu Ummi Maktum yang punya ketulusan hati untuk berjumpa dengan baginda.

Kelihatan remeh

Peristiwa ini kelihatannya seperti kecil dan remeh sahaja, tidaklah sehebat kisah peperangan Badar atau segemilang peristiwa pembukaan Makkah. Namun sekecil apa pun yang dinukilkan Allah taala dalam firmanNya, tetap mempunyai hikmah yang begitu agung. Allah taala mengungkap dalam bentuk singgungan secara sinis tetapi telus.

Tanpa selindung lagi, Rasulullah s.a.w. ditegur sebagai ingatan yang berkekalan buat diri baginda dan ummatnya. Ingatan buat pengikut setia yang juga bakal meneruskan tugas dakwah kepada sesiapa sahaja tanpa mengira darjat dan kedudukan. Ternyata impak dari peristiwa ini cukup besar.

Peristiwa ini memberi petunjuk samada di sudut akhlak, pendekatan dan strategi dakwah dalam pembinaan ummah dan negara islam itu sendiri.

Surah yang dirakam secara “gentleman” begitu rupa, zahirnya seolah bakal mencalar imej dan reputasi Rasulullah s.a.w. Namun pengajarannya itulah yang perlu dihirup sepenuhnya. Terutama kepada penerus risalah agung ini seperti pimpinan gerakan islam mahupun pimpinan negara, wajar sekali membuat penelitian dalam mengambil kira sasaran dakwah tanpa memilih bulu.

Tiada siapa nafikan, “pendedahan berani” dalam surah ini begitu berat untuk ditanggung jika ianya berlaku kepada kita yang berjiwa kerdil ini. Ianya ditayangkan sepanjang zaman, dibaca sepanjang zaman dan diperdengarkan kepada orang ramai di sepanjang zaman.

Namun bagi Rasulullah s.a.w. yang berjiwa besar itu, sudah tentu baginda pasrah dan redha terhadap teguran Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Penyayang. Baginda sangat berkeyakinan Al-Quran itu tidak lain adalah pedoman kepada umat baginda jua.

Inilah juga bukti kasih sayang Allah taala yang saban hari terus menerus mengetuk hati nurani insan. Betapa perlunya bashirah atau celik hati nurani ini dibuka dan disingkap hijabnya untuk memahami, mengingati dan menyedarkan kita terhadap isi kandungan al-Quran.

Kesilapan sendiri

Juga membuktikan Al-Quran bukanlah ciptaan baginda. Mana mungkin seorang penulis akan menulis kesilapan diri sendiri secara terbuka dan terus terang begitu.

Untuk apa surah ini perlu direnungi sedalamnya? Terutama kepada pimpinan gerakan islam dan negara. Sudah tentulah hikmah Allah Taala menggambarkan peristiwa setelus ini menuntut pemerhatian mendalam kepada kita semua dalam mengharungi perjuangan islam yang penuh simpang siur ini.

Sememangnya manusia mudah dan cepat terkesan dengan kehebatan dan kekuasaan yang tiba-tiba terjongol di depan mata. Pembesar mana yang tidak teruja apabila dapat berjumpa dan ngobrol-ngobrol dengan pembesar dan saudagar-saudagar yang lain? Dan pembesar mana yang begitu betah untuk melayan anak-anak mentah dan budak-budak hingusan?

Lantas mereka sering memandang remeh dan enteng sesuatu yang dikira masih jauh dan mentah. Kelompok pimpinan negeri mahupun negara merasakan kuasa dan jawatan dalam pemerintahan mereka adalah suatu singgahsana yang begitu gah dan menawan hati.

Telahan mudah kepada mereka ini: “Mungkin mereka mengagak, dengan mengendung kuasa, mereka dapat membuat perubahan dengan menukar sistem, undang-undang dan polisi negara.” Ya, kelihatan ada benarnya.

Namun barang diingat, kelangsungan mana-mana sistem dan polisi negara amat bergantung kepada penggerak dan pendokongnya. Siapakah lagi penggerak dan pendokongnya yang paling ampuh dan diharapkan kalau bukan anak muda yang berpendidikan?

Kepimpinan kelompok mahasiswa

Mutakhir ini, kelihatan jarang-jarang atau kadang-kadang sahaja kelompok mahasiswa ini diberi perhatian dan dibangunkan kepimpinan mereka. Mahasiswa kini seakan diabaikan, kehilangan punca, semakin lesu dan dinafikan suara dan jeritan mereka.

Di pihak Aspirasi pula, mereka terlalu dimanjakan dan disesatkan arah tuju perjuangan tulen mereka oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Seakan lembu yang diikat hidungnya layaknya. Peruntukan KPT dihambur sesuka hati walaupun untuk projek pesta-pestaan.

Satu pihak diabaikan dan satu pihak disesatkan!

Soalnya, di manakah pula kecacatan anggota fizikal mahasiswa sehingga mereka juga tiada tempat dalam senarai keutamaan kelompok pimpinan? Mahasiswa tidak dipandang walaupun dengan sebelah mata. Isu-isu kebajikan mereka seperti biasiswa, PTPTN, Pilihan Raya Kampus, AUKU begitu menekan alam kampus. Apatah lagi isu kepimpinan dan daya juang yang semakin terperosok, hilang arah, tidak diketahui hujung pangkalnya.

Adakah masyarakat negara ini dapat merasai kehadiran dan kepimpinan mahasiswa? Kalau setakat terpegun dan puas dengan program baktisiswa, keluarga angkat yang dah lapuk itu, manakan mampu mungubah landskap kepimpinan negara. Malah mereka kerap sekali dimomokkan dengan masalah-masalah sosial dan pembawa masalah kepada masyarakat.

Mahasiswa adalah sasaran itu. Ya, mereka adalah kelompok yang tidak dbela kerana dilihat masih mentah dan belum diketahui bagaimana masa depan dan hasilnya nanti. Sedangkan suatu ketika dahulu, (biarlah, orang nak kata mengungkit) ketika sesetengah kelompok pimpinan pembangkang pernah ditimpa hiba, duka nestapa, ramai juga dikalangan mahasiswa yang tampil membela di jalanan, menjerit erti keadilan dan menyanggah kezaliman.

Memang manusia yang singkat akal budinya mudah tersilau dengan tahta yang segera dan mereka tidak begitu sabar untuk menghayun buaian seorang bayi kerana ianya amat memenatkan malah cukup melecehkan.

Menghisab kebenaran

Ada kalangan teman-teman mahasiswa bertanya soalan yang kelihatan main-main tapi wajar juga dihisab kebenarannya, mengapa tuntutan untuk memenangi pilihanraya kecil lebih kuat pekikannya berbanding usaha bersungguh untuk membina dan membela jenerasi pelapis yang bakal menggegarkan negara suatu hari nanti?

Apa jadi dengan mahasiswa di KUIS dan UNISEL? Masih hanyut dengan gejala sosial atau masih takut-takut nak susun program usrah? Sedang kuasa sudah di tangan!

Masing-masing berhak memberi jawapan yang berbeza.

Apa pun jawapannya, jika ketidakpedulian sejenak Rasulullah s.a.w. terhadap Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang buta itu pun ditegur Allah taala!

Apakah pimpinan gerakan islam dan pimpinan negeri yang jelas mengabaikan nasib mahasiswa kini tidak akan ditegur Allah taala di akhirat nanti?

Tak salah sesekali muhasabah diri. _

Leave a comment »

UNDILAH PAS

biodata

biodata2

Leave a comment »